Ilmu Fekah (bersuci)

Bersuci yang dimaksudkan disini ialah bersuci dari hadas kecil (najis ringan, sederhana dan berat) dan hadas besar (keluar mani, haid, wiladah dan sebagainya)



PENGERTIAN BERSUCI
Firman Allah swt maksudnya, "Sesunguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan yang suka menyucikan diri " (Al Baqarah : 222)
Bersuci atau At Thaharah ialah suatu pekerjaan yang dilakukan bagi menghilangkan hadas atau najis yang ada di badan, pakaian atau tempat tinggal kita. Ia mesti dibersihan supaya kita boleh melakukan ibadah. Di dalam ajaran Islam bersuci adalah sesuatu yang WAJIB. Sebahagian dari bersuci adalah berwuduk, mandi dan membersihkan najis dari badan.


 JENIS-JENIS BERSUCI

  

Bersuci dari hadas kecil. Apabila kita berada dalam keadaan begini kita dilarang dari mengerjakan sembahyang dan menyentuh Al Quran. Cara untuk menyucikan ialah dengan mengambil wuduk ataupun bertayammum.
Bersuci dari hadas besar. Mereka yang berjimak, haid dan nifas adalah termasuk di dalam golongan ini. Cara bersuci daripadanya ialah dengan mandi junub. Perkara yang ditegah dari melakukannya seperti sembahyang, puasa, menunaikan haji, iktikaf di masjid dan menyentuh atau membaca Al Quran.
Beristinjak. Ia bertujuan bagi menghilangkan najis yang keluar dari dua saluran iaitu qubul dan dubur.



ISTINJAK



RUKUN ISTINJAKRukun istinjak ada 3 iaitu :
  

Islam
Menggunakan air, batu, kertas, daun dan benda keras yang suci
Najis itu mestilah keluar dari qubul dan dubur


SUNAT-SUNAT ISTINJAK
  

Haruslah dilakukan dengan bilangan yang ganjil seperti 3x, 5x atau 7x dan seterusnya.
Menggunakan tangan kiri


BERISTINJAK DENGAN BATUSyarat-syarat menggunakan batu atau lain-lain benda yang keras ialah:

Pastikan benda tersebut tidak mengalir
Pastikan najis belum kering
Pastikan tempat keluar najis tersebut tidak terhalang oleh benda-banda lain


BERISTINJAK DENGAN AIRPerlakuannya ialah lebih kurang sama dengan batu. Terlebih dahulu mestilah dibersihkan sehingga hilang 3 perkara iaitu bau, warna dan rasa. Apabila selesai disunatkan membaca doa.



BENDA-BENDA BERNAJIS



Antara benda-benda najis menurut Islam adalah seperti berikut :
  

Semua jenis bangkai binatang darat dan laut yang berdarah melainkan mayat manusia. Binatang darat dan laut yang tidak berdarah dianggap suci.
Darah kecuali hati dan limpa
Semua jenis benda yang keluar dari qubur dan dubur
Nanah kerana ia terhasil dari darah yang kotor
Arak dan semua jenis minuman yang memabukkan
Bahagian binatang yang diambil dari badannya semasa ia masih hidup



JENIS-JENIS NAJIS
Terdapat 2 jenis najis yang boleh diklasifikasikan dalam Islam iaitu:
  

NAJIS MUGHALLAZAH
Iaitu anjing dan babi serta segala anggota tubuh badannya. Cara menyucikannya ialah dengan menyiram sekali air tanah atau lumpur dan 6 kali dengan air yang bersih
NAJIS MUKHAFFAFAH
Iaitu najis ringan seperti air kencing kanak-kanak lelaki yang berumur 2 tahun kebawah dan hanya memakan susu ibunya sahaja. Cara menyucikannya ialah memadai dengan memercikkan air ke atas benda yang terkena najis itu kemudian lapkannya
NAJIS MUTAWASSITAH
Iaitu najis pertengahan. Najis ini terbahagi kepada dua bahagian :
 

(a) Hikmiah adalah najis yang kita yakini adanya tetapi tidak nyata zatnya seperti air kencing yang sudah lama kering hinggakan sifatnya sudah hilang. Najis ini disucikan dengan mengalirkan air keatasnya
(b)'Ainah adalah najis yang dicuci dengan menghilangkan dan membersihkan semua zatnya



JENIS-JENIS AIR



Terdapat 5 jenis air iaitu :
  

AIR MUTLAK
Sifatnya adalah suci lagi menyucikan. Air ini boleh digunakan bagi menyucikan benda lain. Contohnya air hujan, laut, perigi, air mata air, salji, sungai dan air embun
AIR MUQAYYAT
Sifatnya adalah suci tetapi tidak boleh menyucikan. Air ini tidak sah digunakan untuk menyucikan benda lain seperti air kopi, teh, air buah-buahan dan sebagainya.
AIR MUTANNAJJIS
Air ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu:
 

(a)Telah berubah salah satu sifatnya iaitu warna , bau dan rasa dengan najis. Air ini tidak boleh digunakan lagi sama ada banyak ataupun sedikit.
(b)Air bernajis tetapi tidak berubah sifatnya. Air ini jika kurang dari 2 kolah (lebih kurang 13 tin minyak tanah) tidak boleh digunakan lagi tetapi jika 2 kolah atau lebih maka hukumnya suci lagi menyucikan.
AIR MUSYAMMAS
Ialah air yang terjemur di tengah pancaran matahari dalam bekas selain dari bekas emas dan perak. Ianya makruh digunakan untuk badan tetapi tidak untuk pakaian
AIR MUSTAGHMAL
Ialah air yang telah digunakan untuk menyucikan benda-benda lain dan sukatannya adalah kurang dari 2 kolah. Air ini tidak sah digunakan untuk bersuci walaupun tidak berubah sifatnya.





MANDI JUNUB UNTUK BERSUCI HADAS BESAR


Kaifiyat mandi hadas yang sempurna dan mudah diamalkan ialah dengan mengikut cara mandi Nabi s.a.w., antaranya yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a sebagaimana berikut;

“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila baginda mandi janabah, baginda mula dengan membasuh dua tangannya. Kemudian baginda menuangkan air ke tangan kirinya dengan menggunakan tangan kanannya, lalu (dengan tangan kiri itu) baginda membasuh kemaluannya. Kemudian baginda mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Kemudian baginda mengambil air, lalu memasukkan jari-jarinya ke akar rambutnya hingga apabila melihat air telah membasahi seluruh (kulit kepala dan akar-akar rambutnya), baginda mencebuk air (dan menjirus) ke kepalanya sebanyak tiga cebukan. Kemudian baginda menyiram air ke seluruh badannya. Kemudian baginda membasuh kedua kakinya” (HR Imam Muslim).

Dari hadis di atas, dapat kita simpulkan cara mandi hadas seperti berikut;


1. Setelah membaca Bismillah, mulakan dengan membasuh dua tangan. Di dalam hadis yang lain, ada dinyatakan baginda membasuh dua tangannya sebanyak dua atau tiga kali.


2. Kemudian basuh kemaluan dan najis di badan jika ada dengan menggunakan tangan kiri.


3. Setelah itu ambil wudhuk sebagaimana yang biasa dilakukan.


4. Kemudian mulakan mandian dari bahagian kepala terlebih dahulu hingga rata air di seluruh kepala termasuk di celah-celah rambut.


5. Selesai bahagian kepala, lakukan mandian di bahagian badan pula; dari leher ke bawah. Sunat menjirus bahagian kanan terlebih dahulu, kemudian baru diikuti sebelah kiri.


6. Semasa mandi, tangan hendaklah menggosok-gosok badan terutamanya bahagian-bahagian yang berlipat yang dikhuatiri tidak sampai air jika tidak digosok.


7. Akhiri mandian dengan membasuh kedua kaki dan menggosok dicelah-celah jarinya.


8. Ketika mandi itu, jangan lupa berniat di dalam hati melakukan mandi yang diwajibkan atau berniat mandi untuk menghilangkan hadas besar dari badan.

Menyentuh kemaluan tidaklah membatalkan mandi. Ia hanya akan membatalkan wudhuk. Semasa mandi, jika menyentuh kemaluan itu dilakukan dengan niat/tujuan meratakan air ke bahagian kemaluan, tidaklah perlu mengulangi wudhuk kembali selepas mandi kerana sentuhan itu terpaksa dilakukan untuk menyempurnakan mandi wajib. Namun jika sentuhan itu berlaku setelah bahagian kemaluan itu telah diratakan air (semasa mandi itu) atau setelah selesai mandi, maka ketika itu barulah wajib mengambil wudhuk kembali selepas mandi. Adapun mandi, ia tidak terjejas semata-mata dengan menyentuh kemaluan.